BESUT, 15 Disember – Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh yang mengesahkan perkara itu berkata, bayi yang baru lahir itu dipercayai hasil daripada hubungan sumbang mahram.
"Bayi berkenaan dipercayai dibuang sejurus selepas dilahirkan sebelum ditemui oleh salah seorang penghuni rumah terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan bayi dengan niat membuang, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan sumbang mahram, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.
"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan dikenakan sebatan," katanya.
Katanya, mahkamah membenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap seorang lelaki yang juga adik kepada ibu bayi itu untuk membantu siasatan.
"Remaja perempuan itu pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital," katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan agar berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian, khususnya di media sosial, bagi mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.