• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penerima Pencen Rakyat Luah Rasa Syukur

KEMAMAN, 19 Januari - " Alhamdulillah, dapat lah saya gunakan sumbangan yang diterima hari ini untuk membeli barang-barang keperluan," itu antara luahan hati Abd Kadir Ismail, 77 Tahun.

Beliau yang tinggal di Kampung Besut terharu atas usaha kerajaan negeri yang melaksanakan sumbangan pencen rakyat itu.

"Saya harap sumbangan seperti ini akan berterusan untuk masa akan datang," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima sumbangan itu di Dewan Dato' Seri Amar Diraja, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pelaksanaan pencen rakyat merupakan manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri Terengganu sebelum memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kami untuk memerintah negeri ini. Hari ini kerajaan telah bersetuju membayar pencen rakyat kepada lebih 19,000 warga emas," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan Majlis Sumbangan Pencen Rakyat Dun Cukai.

Dalam majlis itu, seramai 712 orang warga emas telah menerima sumbangan sebanyak RM300. 

Bantuan pencen rakyat dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara, tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta berada dalam golongan miskin.