SETIU, 17 Disember - Tindakan Kerajaan Terengganu menuntut hak tanah ke atas FELDA/FGV disifatkan wajar, berasas undang-undang dan menguntungkan rakyat negeri, sekali gus menafikan dakwaan kononnya peneroka terkesan atau dihalau.
Pengerusi Persatuan Belia FELDA Selasih, Muhammad Hafizullah Abdul Ghaffar, 37, berkata isu sebenar melibatkan pemilikan dan pengurusan tanah ladang FGV, bukannya tanah kediaman peneroka.
Menurutnya, tanah seluas hampir 15,000 hektar itu telah digunakan lebih 40 tahun, namun kewajipan seperti premium tanah, cukai dan perkongsian hasil masih belum diselesaikan walaupun beberapa notis dikemukakan.
“Kerajaan negeri menuntut hak yang sah. Ini bukan soal sentimen, ini soal tanggungjawab. Sepatutnya rundingan dibuat dari awal supaya isu ini tidak berlarutan,” katanya, sambil memaklumkan usaha tuntutan telah dibuat secara konsisten sejak 2018 di bawah pimpinan Exco berkaitan.

Beliau turut menegaskan tiada peneroka di ladang FGV yang terlibat dengan notis yang dikeluarkan, malah operasi ladang masih berjalan seperti biasa sepanjang tempoh remedi.
“Dakwaan peneroka dihalau hanyalah naratif murahan. Ladang ini diurus pihak pengurusan dan pekerjanya majoriti warga asing. Kerajaan negeri tidak pernah menghalau sesiapa,” tegasnya.
Sementara itu, peneroka FELDA Selasih, Yusof Ideris, 66, menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan negeri dan menjelaskan bahawa 100 peratus peneroka telah memiliki geran tanah masing-masing, sekali gus menafikan sebarang risiko kehilangan tanah peneroka.
“Isu yang sering dikelirukan ialah berkaitan Perbadanan Koperasi FELDA (PKF) dan saham peneroka. Itu isu berasingan, bukan isu pengusiran peneroka. Hak milik tanah peneroka tidak terjejas,” katanya.
Beliau menambah, dakwaan kononnya berlaku pengusiran di ladang juga tidak tepat kerana pekerja yang berada di kawasan tersebut adalah pekerja ladang, bukan peneroka.
“Di Setiu, pekerja masih ada. Tak ada halau. Cerita ini dimainkan untuk cetuskan perbalahan,” ujarnya.
Kedua-dua mereka sependapat bahawa hasil penyelesaian tuntutan ini wajar dikembalikan kepada rakyat Terengganu, termasuk komuniti FELDA sendiri, melalui pengagihan hasil yang lebih adil dan telus.
“Ini langkah betul untuk negeri. Apa jua keputusan seterusnya ambil alih sementara, urus tadbir baharu atau rundingan biarlah dibuat secara profesional demi kepentingan rakyat,” kata Yusof.