Pengamal Media Terengganu Konvoi Motosikal Bantu Asnaf

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- Pengamal media pelbagai agensi seluruh Terengganu berkonvoi motosikal sambil menyantuni asnaf dalam program 'Jelajah Amal Media Merdeka' sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-65.

Penyelaras Program Ghazali Kori berkata, aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan itu adalah sebagai usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan ahli-ahli bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

"Bertujuan untuk menyemaikan rasa cintakan negara serta menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai bangsa.

"Kami telah menyantuni seramai 30 orang golongan asnaf di kampung tersebut dengan kesemua bantuan yang diberikan adalah hasil sumbangan daripada syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Antara sumbangan yang diberikan adalah barangan keperluan di perkampung dekat Sungai Palas, di mana penerima bantuan terdiri daripada golongan yang terjejas teruk dalam situasi pandemik yang melanda negara pada dua tahun lepas," ujarnya selepas selesai menjayakan misi kemasyarakatan itu, di sini, baru-baru ini.

Ghazali berkata aktiviti sedemikian akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan pihaknya kini sedang merancang untuk memperluaskan aktiviti tersebut dalam membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Mengulas lebih lanjut katanya, misi yang dijayakan itu telah disertai oleh 20 ahli media daripada Kelab Aktivis Media Terengganu yang turut melibatkan kelab Media Terengganu.


Tag: