• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengangguran Musim COVID-19, Mahasiswa Jangan Memilih

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Para mahasiswa hendaklah mempunyai suatu pemikiran positif dan tidak terlalu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata kerana ia mampu mendorong golongan lepasan universiti samada awam atau swasta ramai mengganggur pada musim COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, isu pekerjaan ini berlaku di mana-mana dan menjadi lebih besar dan bersifat global.

“Kepada golongan mahasiswa yang telah keluar ataupun bakal keluar daripada kampus akan menghadapi cabaran yang besar tetapi saya yakin sebenarnya di luar sana banyak peluang-peluang yang boleh diterokai.

“Terutamanya dari segi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dengan penyesuaian dengan norma-norma baharu yang ada sekarang ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM di Laman Pusat Kesenian dan Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini.

Katanya, walaupun negara maju tetapi kadar pengangguran sangat tinggi dan peluang pekerjaan sangat terhad oleh kerana ekonomi transaksi perniagaan tidak berjalan dengan lancar sebagaimana biasa disebabkan pandemik.

Tambah Yahaya lagi, disebabkan itu, mereka yang telah ada pekerjaan tetapi hilang punca pendapatan menyebabkan sedikit sebanyak terjejas sumber rezeki.

“Di peringkat kerajaan negeri kita mempunyai bajet bagaimana untuk meningkatkan skil kemahiran yang ada kepada golongan ini.

"Dengan harapan supaya mereka mempunyai satu persediaan bagaimana mereka boleh terlibat untuk peluang pekerjaan yang seharusnya mereka terokai.

“Salah satu bidang yang kita beri perhatian sekarang ini satu kegiatan ekonomi ialah bidang pertanian,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyarankan para mahasiswa supaya fokus dan mengambil perhatian berkaitan bidang pertanian moden menggunakan pelbagai teknologi moden. 

“Mereka yang keluar daripada kampus apabila terlibat dengan kegiatan pertanian ini mereka boleh bergantung hidup dengan pendapatan yang agak lumayan dalam bidang ini,” katanya lagi.