• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penganjur Akur Arahan Kerajaan

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Ustaz Azmi Tengah.
KUALA TERENGGANU - Penganjur Island Music Festival 2018 yang dibatalkan permohonannya oleh Kerajaan Negeri Terengganu, akur dengan arahan tersebut.

Namun, tinjauan mendapati pihak penganjur meneruskan aktiviti sampingan lain yang hanya melibatkan orang bukan Islam.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Ustaz Azmi Tengah berkata, kerajaan negeri telah melarang dengan tidak mengeluarkan permit dan penganjur juga ada menampal notis makluman pembatalan itu.

“Pada hemat saya, penganjur akur dan oleh kerana tempahan bayaran (tiket) telah dibuat oleh peserta. Jadi, dibuat juga oleh penganjur secara tertutup dan khas kepada orang bukan Islam sahaja.

“Meskipun ada rayuan, saya difahamkan Kerajaan Terengganu tetap berpegang kepada prinsip dan tidak membenarkan pesta itu diadakan.

“Saya rasa tindakan kerajaan itu yang terbaik kerana kekal dengan prinsip yang halal dan haram itu nyata,” tegasnya ketika ditemui selepas membuat pemantauan itu di Long Beach, Pulau Redang, 13 Oktober lalu.

Island Music Festival yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Oktober 2018, telah mendapat kecaman rakyat Terengganu terutama netizen, apabila satu klip video iklan yang berunsur lucah diviralkan di media sosial.

Ustaz Azmi turut menasihatkan pihak penganjur di masa akan datang sama ada dari dalam atau luar negeri agar mematuhi peraturannya.

“Suka saya nasihatkan kepada penganjur sama ada dari dalam atau luar negeri Terengganu, supaya mematuhi peraturan yang berkuatkuasa dalam negeri ini, dengan dasar-dasar baru yang diambil dan dibuat untuk mengekang gejala sosial daripada terus berkembang di Negeri Terengganu.

“Saya harap kerajaan negeri mempunyai suatu sikap yang tegas dengan tidak membenarkan apa jua bentuk pencabulan terhadap hak-hak Allah dalam perkara halal dan haram,” jelasnya.

Menurutnya, pemantauan itu dibuat oleh Penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Anggota-anggota yang kita bawa adalah untuk memastikan program itu tidak berjalan dan jika melibatkan orang-orang Islam, kita akan ambil tindakan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Lebih 20 orang Penguatkuasa JHEAT bersama dengan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terlibat untuk operasi ini. Saya difahamkan, pihak polis dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pun ada sama,” jelasnya.

Kata beliau, pihak penganjur juga telah menggerakkan para petugasnya sendiri agar tidak ada orang Islam yang terlibat dengan program tersebut.


Tag: