• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengeluaran Silika Di Terengganu Cecah 500,000 Tan Metrik Sejak 2017

Datuk Tengku Hassan (tengah) ketika melawat Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) di Bari, Setiu hari ini.
SETIU, 29 Oktober - Sejak pembukaan kilang pemprosesan pasir silika di Bari pada 2017, industri pengeluaran bahan galian itu di Terengganu sehingga kini telah mencecah 500,000 tan metrik.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, lebih RM275 juta juga telah dilaburkan Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) bagi pembangunan projek berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

“Silika di sini diproses kepada beberapa gred yang diperlukan oleh industri untuk eksport luar negara, antaranya ke Jepun, Korea dan Taiwan. Ianya memerlukan pelaburan yang tinggi dan saya difahamkan TSC telah melabur lebih kurang RM275 juta.

"Selain itu, bermula tahun depan kita juga berhasrat memperluaskan lagi industri ini dengan penglibatan masyarakat kampung menerusi penghasilan produk cenderamata berasaskan silika," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) di Bari, Setiu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd., N.Surendran.

Katanya, produk cenderamata berkenaan akan dipamerkan dan dijual di Taman Tamadun Islam (TTI) sebagai salah satu tarikan pelancongan terbaharu di Terengganu.


Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga akan meminta pihak syarikat supaya menimbus balik 40 peratus daripada lombong dengan sisa silika di samping sebahagiannya akan dijadikan kolam ikan dalam usaha mengelakkan berlakunya pembaziran.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan satu kawasan seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang dikenali dengan Lembah Silika Terengganu iaitu kawasan perindustrian bersepadu dan tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika.

“Ianya akan membuka peluang pekerjaan kepada anak Terengganu dan sekali gus dapat merealisasikan usaha kerajaan menunaikan manifesto iaitu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun,” ujarnya.


Tag: