• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pengembara Basikal Secara Solo Dijangka Tiba Di Terengganu Jumaat Ini

 Mohd Suradi ketika mengadakan sidang media di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu. Foto oleh Zulkifli Putra

Pengembara berbasikal secara solo, Sofian Mohd, 56, dijangka menjejaki bumi Terengganu pada  Jumaat ini, dengan persinggahan pertama di Kuala Besut selepas berjaya mengharungi  30 negara membabitkan kira-kira 45,000 kilometer.

Keesokan harinya (Sabtu), beliau dijadualkan akan melalui Kampung (Kg) Rahmat, Chalok, Sungai Tong, Gemuroh, Tepoh, Batu Enam, Jambatan Sultan Mahmud, Gong Kapas, Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu.

Majlis sambutan kepulangan Sofian di sekolah itu akan disempurnakan  Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.


Sebelum itu, Sofian yang merupakan anak jati Kampung Telaga Daing, Seberang Takir yang juga Ketua Jabatan Pengajian Am, Politeknik Kuching Sarawak, mengambil masa kira-kira 16 bulan, bermula Julai tahun lalu dengan berbasikal secara solo mengelilingi dunia.

Pengarah  program sambutan itu, Mohd Suradi Mohd Sabri, berkata antara negara yang dijejaki pensyarah itu, termasuk Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Krygyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Georgia, Turki, Greece, Albania, Itali, Switzerland dan Perancis.

Katanya, selain itu, Sepanyol, Portugal, Denmark, Jerman, Belanda, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Korea Utara, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.

“Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh beliau, termasuk  cuaca terlalu panas  dan keadaan salji tebal di  Xinjiang China, laluan bergunung di China hinggalah ke  laluan padang pasir di Asia Tengah.

“Selain itu, terpaksa bermalam di dalam khemah di kaki lima stor, tepi jalan, rumah kosong dengan berbekal makanan tertentu seperti spageti, beras, telur dan roti,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.
.
Menurutnya, apa yang dilakukan Sofian semata-mata mahu menyempurnakan misi kayuhan  diri sendiri di samping mengharumkan nama negara dengan membawa imej keamanan dan ukhuwah yang sinonim sebagai budaya Malaysia khususnya Terengganu.

Tambah beliau, diharapkan ekspedisi itu dapat  memeriahkan lagi acara sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.
.

Tag: