lightning-solid
Berita :
Penggiat Media Dihargai
Penggiat Media Dihargai
Rohayati Ripin
07 Aug 25
87

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif menghargai sumbangan penggiat media sosial yang berperanan penting mengangkat nama negeri ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha dan kreativiti golongan tersebut dalam menghasilkan pelbagai bentuk kandungan termasuk budaya, makanan, lokasi menarik, serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama telah memberi impak besar dalam membina imej positif Terengganu.

"Penggiat media sosial berjaya memperkenalkan keunikan negeri Terengganu kepada seluruh Malaysia, bahkan hingga ke luar negara. Berbanding 30 tahun dahulu yang lebih bergantung kepada media arus perdana, kini kita menyaksikan bagaimana media sosial memberi impak besar dalam membentuk persepsi dan menarik minat masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Majlis Apresiasi Media Terengganu 2025 edisi keempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri menyedari perubahan landskap penyampaian maklumat dan telah mengambil pendekatan mendekati serta membina jaringan lebih rapat dengan pengamal media sosial dan pempengaruh.

"Ramai antara mereka menghasilkan kandungan berkaitan lokasi menarik di Terengganu seperti pulau, tasik, sungai, makanan dan warisan budaya. Kandungan ini bukan sahaja mendapat perhatian rakyat tempatan, malah turut menarik penonton dari seluruh negara," ujarnya.

Dr. Muhammad Khalil menambah, penganjuran majlis tersebut bertujuan memberi penghargaan serta suntikan semangat kepada mereka agar terus berkarya dan mempromosikan Terengganu secara positif.

"Selain menjadi satu bentuk pengiktirafan, katanya, mereka juga dianggap sebagai duta digital negeri yang memainkan peranan penting memperkenalkan Terengganu kepada dunia," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan