RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
BESUT, 10 November – Sebahagian besar pengundi muda Besut ketika ditemui menyatakan hasrat untuk mengubah parti politik yang bakal membawa suara rakyat di sini.
Salah seorang pengundi, Siti Aisyah Shahrul Zamani, 18, menyatakan rasa teruja kerana bakal mengundi buat kali pertama bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Politik ini pengurusan negara yang diketuai pemimpin. Pemimpin perlulah dalam kalangan yang baik demi kestabilan negara. Jika salah memilih pemimpin, kesian kepada rakyat.
“Pemimpin yang baik itu adil, tidak pula terlibat dengan aktiviti rasuah. Kita orang muda sangat berharap agar seorang wakil rakyat yang dipilih itu meletakkan agama di depan, bukan pula kepentingan diri sendiri,” katanya ketika ditemubual hari ini.
Seorang mahasiswi, Che Ku Najwa Alia Che Ku Nizam Aswad, 19, pula berkata, dia bersyukur menjadi rakyat Terengganu yang melihat usaha kerajaan negeri menjaga maslahah agama.
“Saya secara peribadi berbangga dengan inisiatif kerajaan dalam mengasingkan tempat duduk di panggung wayang.
“Begitu juga dengan penganjuran Karnival Jom Heboh tempoh hari yang berlandasakan Syariat, kita yang perempuan ni rasa selamat,” ujarnya.
Perikatan Nasional melalui Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meletakkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh atau lebih dikenali ‘Abe Zul’ sebagai calon dalam usaha merampas kerusi parlimen Besut daripada Barisan Nasional (BN).
Parlimen Besut menjadi medan empat penjuru apabila beliau bakal bertanding dengan Dato' Nawi Mohamad (BN), Abdul Rahman @ Abdul Aziz Abas mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh daripada Gerakan Tanah Air (GTA).