• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengundi Muda Mahu Pemimpin Bersih, Amanah

KUALA NERUS, 9 November - Pengundi kali pertama, golongan yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini rata-rata cenderung memilih pemimpin bersih dan tidak khianat bagi menerajui negara.

Pelajar kolej, Qatrunnada Che Sor, 21, akan mengundi buat kali pertama tahun ini berkata, dia lebih memilih pemimpin yang boleh mengangkat dan berpegang teguh kepada prinsip Islam.

Pengundi di parlimen Kuala Nerus itu mengakui, biasa mengikuti perkembangan politik semasa melalui media sosial terutama Instagram dan Tik-Tok bersama rakan-rakannnya.

"Bagi saya, tiada isu tentang umur calon pemimpin sama ada tua atau muda, yang penting beliau bersih dan amanah," katanya ketika ditemui dalam kunjungan calon parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak di Pulau Duyong, semalam.

Calon dari Perikatan Nasional (PN) itu, melakukan ziarah bersama Ameerah menemui ibu-ibu yang baru bersalin, orang sakit dan pengundi-pengundi kali pertama di sekitar Kampung Pulau Duyong.

Salah seorang belia yang turut diziarahi, Najwa Ilyana Mortar, 21, juga menyatakan keterujaan untuk mengundi pada tahun ini.

"Saya rasa gembira dapat menunaikan tanggungjawab mengundi pada kali ini. Saya berazam memilih pemimpin yang baik dan bertanggungjawab dalam membangunkan negara," jelas gadis yang menderita penyakit Talasemia itu.

Dalam pada itu, ibu muda dari Pulau Duyong, Syazwani Mazlan, 25, mahukan pemimpin yang adil dan bersih.

"Saya banyak mengikuti perkembangan politik melalui media sosial terutama Tik-Tok, dan medium-medium ini boleh dijadikan platform menyampaikan maklumat kepada golongan muda.

"Muda atau tua tidak menjadi isu, yang penting beliau (pemimpin) dapat bekerjasama dengan baik dalam memimpin negara," katanya.

 

 


Tag: