• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Peningkatan Yuran IPT : Kerajaan Pusat Tak Serius Bantu Mahasiswa


SETIU, 1 Ogos - Peningkatan yuran perkhidmatan sebanyak 113 peratus daripada RM328 kepada RM700 di Universiti Teknologi Mara (UITM) menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak serius dalam menangani isu mahasiswa lapar.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, sehingga kini janji Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan makanan lengkap kepada mahasiswa universiti awam masih lagi tidak berlaku.

Sebaliknya pula berlaku kenaikan yuran lain yang bakal menyebabkan anak muda terpaksa menanggung bebanan berganda.

"Sebelum ini, saya ada mengeluarkan cadangan agar kerajaan mengurangkan kos pengajian bagi golongan B40 agar mahasiswa dapat menggunakan wang tersebut bagi menampung kos sara hidup.

"Kerajaan juga mesti memperkasakan mekanisme ‘wakaf pendidikan’ agar sebahagian kos pengajian dapat dialihkan daripada bebanan para pelajar tanpa menjejaskan kewangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan.

"Langkah ini telah berjaya di Universiti Al-Azhar yang sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan," ujarnya.

Beliau mengulas dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Facebooknya, semalam.

Beliau turut menggesa supaya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Kementerian Pendidikan mengambil peduli dengan nasib rakyat yang berdepan masalah peningkatan yuran pengajian.

"Kerajaan sewajarnya menonjolkan sikap peduli rakyat seperti mana yang dilaung-laungkan terutama isu peningkatan yuran IPT yang jelas sekali membebankan mahasiswa dan tidak mustahil isu mahasiswa lapar, mahasiswa ikat perut berulang lagi," tambah beliau.



Tag: