• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penjawat Awam Perlu Jauhi Perasaan Hasad Dengki

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja menyeru penjawat awam menjauhi perasaan hasad dengki antara satu sama lain agar tidak terganggu tugas hakiki untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, sifat sedemikian walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya adalah gangguan jiwa dan tidak mendatangkan sebarang faedah. 

"Dalam kita meraikan kecemerlangan dan kejayaan dikalangan pegawai dan kakitangan, kadang-kadang ada sedikit ketidakpuasan hati dikalangan kita semua.

"Sebagai manusia kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, sekiranya ada ketidakpuasan hati dikalangan kita semua, saya lebih terbuka untuk mendengar secara berdepan, " ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2023.

Pada majlis tersebut seramai 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman bagi bulan Oktober, November dan Disember menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan Penyerahan Sijil Penarafan Lima Bintang Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi Sumber Manusia (SKPPSM) Tahun 2023 kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Katanya, memendam perasaan dan perasaan hasad dengki, suka adu domba, "dok leh selih", berahi ngadu antara penyakit mental yang perlu diberikan perhatian segera.

Dalam perkembangan lain, Tengku Seri Bijaya Raja mengingatkan warga kerja Wisma Darul Iman untuk mengambil langkah berjaga- jaga bagi mengekang penularan virus COVID-19. 

"Jalankan penilaian kendiri sekiranya mempunyai gejala serta amalkan langkah pencegahan kesihatan awam untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan di tempat kerja.

"Bagi kes-kes kontak rapat, dinasihatkan untuk mengambil langkah- langkah yang perlu bagi mengekang penularan virus ini, " ujarnya.