Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.
“Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau.
Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.
“Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.
“Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.
“Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.