• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyakit Kelamin 'Gonorrhoea' Dibimbangi Menular di Kalangan Remaja

KUALA TERENGGANU, 29 November – 'Gonorrhoea' adalah salah satu penyakit kelamin yang dibawa oleh bakteria yang boleh menjangkiti lelaki dan wanita semasa melakukan hubungan seksual. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida MD Noor berkata penyakit tersebut dibimbangi menyerang anak muda termasuklah melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri Terengganu.

“Berdasarkan hasil dapatan dan statistik daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), anak muda lelaki lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin ini berbanding wanita dan umur yang paling tinggi di antara 18 hingga 24 tahun.

“Saya cukup berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan penyakit-penyakit kelamin kepada masyarakat termasuk juga kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian Ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Zuraida, pelbagai program yang telah dijalankan bagi menangani masalah tersebut seperti program kesedaran sentuhan selamat di kalangan remaja sekolah rendah, Program kesedaran HIV & Penyakit Kelamin dan pelbagai lagi program yang dijalankan.

Walau bagaimana pun, antara isu dan kekangan yang sering dihadapi oleh pihak kesihatan, ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, tidak boleh membuat saringan penyakit ini tanpa kebenaran ibu bapa.

"Bagi kanak-kanak pula, seringkali tidak mendapat kerjasama Ibubapa atau penjaga untuk membenarkan anak mereka disaring sekali gus menyukarkan pihak berwajib memantau kes ini.

"Oleh itu, saya ingin mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani permasalahan ini," katanya.

Antaranya, beliau mencadangkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai jabatan penggerak dari pelbagai sudut seperti penerapan nilai agama kepada remaja seawal sekolah Rendah atau sekolah menengah.

Selain itu, kerjasama dan penglibatan Unit Sukarelawan Kesihatan (MyChampion) dan Program Kesihatan Remaja di dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat juga amat penting.

Di samping, kempen kesedaran perlu dilaksanakan di peringkat komuniti untuk mempromosikan ujian atau saringan dan pencegahan penyakit gonorrhoea ini.

“Di sini saya ingin mengusulkan agar pendidikan formal kita pada hari ini turut menekankan tentang penyakit-penyakit ini bermula dari peringkat sekolah rendah.

“Program pendidikan formal dapat disusun untuk mencakup aspek- aspek penting tentang kesihatan seksual dan hubungan interpersonal,” ujarnya.

Jelasnya, fungsi agensi kesihatan penting untuk memantau dan menyiasat penyebaran penyakit dengan lebih efektif dan berkesan.


Tag: