• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyumbang Perlu Elak Beli Barangan di Lokasi Terjejas Akibat Banjir

HULU TERENGGANU, 27 Disember - Semua pihak, termasuk sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir, supaya mendapatkan stok di luar kawasan terjejas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, saranan itu bagi mengelak berlakunya gangguan rantaian bekalan makanan dan keperluan asas di lokasi yang dilanda banjir sehingga menjejaskan penduduk yang terkesan.

"Pihak yang mahu menghantar bantuan banjir ke kawasan yang terjejas supaya dapatkan barang berkenaan di luar Terengganu, jangan beli dalam rangkaian atau tempat berlaku bencana kerana kita takut berlaku kekurangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan 'Food Bank' kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong di sini hari ini.

Tambahnya, pihak NGO juga perlu membuat semakan dengan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau daerahbterlebih dahulu untuk memastikan barangan yang diperlukan di PPS.

"Ini penting sebab kita tidak mahu terjadinya lambakan barangan makanan di PPS sehingga membazir," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa stok bekalan makanan tidak terjejas akibat gelombang ketiga banjir di Terengganu.


Tag: