Perbuatan Menghasut, Sengaja Tidak Solat Berdepan Tindakan Tegas

KUALA TERENGGANU, 17 April - Agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah akan meneruskan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memperkasakan dakwah secara langsung di tapak pasar malam bagi mengajak masyarakat menunaikan solat fardu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardu dan menghasut yang lain, tindakan tegas akan diambil .

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu)2001.

"Dalam melaksanakan dasar 'Indahnya Hidup Beryariat' kerjasama antara kerajaan dan masyarakat sangat penting khususnya dalam dakwah berkaitan solat fardu.

"Tanpa menafikan tugas semua orang sebagai Daie bagi isu berkaitan solat fardu ketika pengoperasian pasar malam, Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selain itu, Muhammad Khalil berkata pihaknya juga mengambil maklum mengenai cadangan yang turut dibangkitkan mengenai penyediaan ruangan solat.

"Serta tempat mengambil wuduk bagi peniaga-peniaga dan pengunjung berdekatan," ujar beliau.