• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Perkasa Kempen Memartabatkan Undang-Undang Syariah

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan berterusan kepada usaha untuk memantapkan undang-undang syariah dalam teori dan juga praktikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kempen bersifat ilmuwan seperti Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan, wajar diadakan setiap tahun dalam bagi menambah baik undang-undang syariah di negeri di samping berkolaborasi bersama pegawai syariah negeri lain.

“Acara sebegini memenuhi hasrat memantapkan kemahiran advokasi di kalangan pengamal undang-undang serta menguatkuasakan lagi undang-undang keterangan dalam prosiding perbicaraan di makhamah syariah.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan ilmu pengetahuan berkenaan undang-undang syariah dikuasai dengan baik sekali gus melicinkan perjalanan prosiding.

“Program sebegini adalah suatu keperluan supaya imej pegawai undang-undang syariah Terengganu akan terus dimartabatkan serta menjadi lebih kompeten, bergerak seiring dengan pemahaman undang-undang sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-Undang Keterangan anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT) di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel, malam semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Ketua Pendakwa Syarie Negeri Terengganu, Mustafar Hamzah, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M.Rozi Bidin dan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ramalingam Rajamanickam.

Bengkel tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu melibatkan 30 orang peserta terdiri daripada ketua pendakwa syarie dan ketua pegawai penguatkuasa syariah dari Terengganu dan negeri-negeri lain, dengan kerjasama Fakulti Undang-undang UKM.

 


Tag: