• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perkataan 'Memugar' Bawa Tuah

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Pemilihan tajuk ‘Pekerja Berkualiti Memugar Produktiviti’ ternyata membawa tuah kepada Amirrudin Abd Rahman, 37, yang diumumkan sebagai johan Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman itu turut terpilih sebagai penerima anugerah khas juri (pemidato terbaik).

Amirrudin yang pernah beberapa kali memenangi pertandingan pidato peringkat universiti serta kebangsaan berkata, disebabkan perlu menggunakan tema yang sama, beliau membuat kelainan dengan memilih tajuk yang perkataannya jarang digunakan.

“Saya terfikir untuk ubah sedikit, saya guna perkataan 'memugar' yang jarang orang guna untuk tajuk, biasa orang guna meningkatkan, perkataan-perkataan yang biasa.

“Saya putuskan untuk guna perkataan yang lain daripada orang lain. Alhamdulillah kira berjaya juga cara itu sebab tidak ada orang guna tajuk yang sama dan isi pidato saya pun agak berbeza dengan orang lain kerana saya banyak cerita dan fokus kepada syarikat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu, yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh di Wisma Darul Iman, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu menzahirkan perasaan gembira dan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada isteri tercinta, anak-anak, ibu serta keluarga yang banyak menyokong dan memberi semangat untuk beliau memasuki pertandingan tersebut.

“Sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan ini kerana saya buat persiapan agak ‘last minute’. Kalau ikut siap teks pagi semalam, ada masa lebih kurang sehari sahaja untuk hafal, alhamdulillah boleh ingat dengan baik dan tenang ketika menyampaikan pidato.

“Pengalaman sebelum ini banyak juga terlibat dengan pidato jadi rasa gian atau ketagih untuk masuk pidato itu ada dan pertandingan ini memberi peluang untuk saya menonjolkan bakat yang masih ada dikurniakan Tuhan dan alhamdulillah kemenangan hari ini berpihak kepada saya,” ujarnya.

Pertandingan Pidato Sektor Awam Piala Setiausaha Kerajaan Terengganu yang julung kali dianjurkan Unit Korporat, Pejabat Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur itu telah berjaya menarik sebanyak 17 penyertaan.

Johan bagi pertandingan tersebut membawa pulang piala dan piala pusingan, wang tunai RM2,000 serta hadiah iringan berupa buku terbitan DBP.

Bagi naib johan dan tempat ketiga, pemenang membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM700 bersama piala dan hadiah iringan berupa buku terbitan DBP.