• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perkemas Dan Perkukuh Kebajikan Untuk Rakyat- Dr Sam

KEMAMAN, 18 November- Isu tempatan dan nasional menjadi fokus calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Kemaman, Dato'  Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam membentuk manifesto yang mahu ditawarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS akan perkukuh dan perkemaskan segala kerja kebajikan untuk rakyat.

"Isu tempatan dan isu nasional akan menjadi fokus kita dan saya percaya PAS mampu untuk menggerakkan isu tempatan mahupun isu nasional di Kemaman ini.

"Urusan banjir contohnya, kita tidak tunggu pilihanraya, sejak beberapa bulan lepas kita telah adakan simulasi, perbincangan, libat urus bersama dengan JPKK dan sebagainya, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PRK Kemaman di Pusat Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, hari ini. 

Katanya, isu tempatan meliputi urusan-urusan semasa yang diuruskan oleh pihak kerajaan negeri bersama ahli-ahli yang berhormat di kawasan masing-masing. 

Sementara itu katanya, PAS juga akan bekerja keras untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini dengan menyasarkan majoriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU-15 lalu.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.