KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Seramai 300,000 suri rumah disasarkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.
Ahli Lembaga PERKESO, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abd Razak berkata, sejak SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu , 160,000 suri rumah sudah mencarum di bawah skim itu, yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.
Namun katanya, jumlah itu masih rendah berbanding anggaran terdapat kira-kira 3 juta suri rumah di seluruh negara dan PERKESO kini sedang berusaha meningkatkan penyertaan golongan tersebut dalam SKSSR.
“Daripada maklum balas yang diterima, antara punca pendaftaran SKSSR masih rendah adalah suri rumah atau pencarum sukar untuk membuat bayaran caruman.
“Oleh itu kita bercadang untuk menambah kaedah dan saluran bayaran caruman, contohnya menerima penggunaan kad kredit, e-wallet atau pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika hadir ke Sambutan Aidilfitri PERKESO Terengganu di sini semalam.
Hadir sama Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin.
Ahmad Nadzaruddin berkata, PERKESO juga akan lebih proaktif dalam menyampaikan semua maklumat berkaitan kebaikan SKSSR kepada golongan sasar termasuk dengan kerjasama bersama agensi kerajaan lain.
“PERKESO sedang meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan sasaran dalam SKSSR, termasuk melalui kerjasama dengan CUEPACS dan pelbagai saluran lain.
Katanya, usaha itu penting kerana maklumat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan buat golongan suri rumah belum sampai hingga ke peringkat akar umbi.
SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.
Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak untuk menyertai skim itu, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal.