• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Perkukuh Kerjasama Banteras Ancaman Salahguna Dadah

KUALA TERENGGANU, 23 November- Kerajaan negeri menyeru orang ramai berganding bahu membanteras penyalahgunaan dan  penagihan dadah bagi menyelamatkan moral generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata menyelamat generasi akan datang daripada gejala najis dadah adalah satu amalan mulia dan mempunyai cabarannya tersendiri.

"Usaha itu merupakan satu amalan jihad  yang mengundang pertolongan dan petunjuk Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemerkasaan Perkampungan Darul Barakah di Dewan Jamine 6, Hotel Paya Bunga di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Zahanapi Sagaf, Timbalan Pengarah YIT, Dr Ahmad Fadhluldin Mohamad dan Timbalan Pengarah Pusat Kecemerlangan PITAS, Zulhilmi Abd Rahman.

Bengkel berkenaan diadakan bagi membincang hala tuju perkampungan itu dan membuat analisis situasi semasa serta merancang pelan pembangunan Darul Barakah.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Buruk berkata tiga perkara perlu diteliti dalam bengkel tersebut termasuk statistik penagihan dadah dalam negeri Terengganu, kedudukan semasa perkampungan itu dalam semua aspek dan  perancangan masa depannya.

Untuk rekod, perkampungan itu adalah sebuah Pusat Pemulihan dadah secara holistik yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu bagi menunaikan janji Manifesto Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

YIT mempunyai punca kuasa melaksanakan sepenuhnya polisi, visi dan misi pusat tersebut yang beroperasi mulai Jun 2021 di Jalan Cador, Kampung Temala, Pengkalan Berangan Marang.

Pemulihan yang diketengahkan kepada penghuni pusat itu adalah dengan menggunapakai konsep secara holistik iaitu kemasukan dan menghuni di pusat tersebut dengan sukarela dan tiada paksaan daripada mana-mana individu atau agensi.


Tag: