lightning-solid
Berita :
Perkukuh Program Kad Sejahtera Melalui Kerjasama MAIDAM
Perkukuh Program Kad Sejahtera Melalui Kerjasama MAIDAM
Rohayati Ripin
10 jam yang lepas
122

KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Kerajaan negeri memperkukuh Program Kad Sejahtera melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi memastikan program kebajikan itu dapat diteruskan walaupun berdepan kekangan kewangan dan ketidaktentuan pembayaran royalti daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penglibatan MAIDAM dalam fasa kelima ini membolehkan kerajaan negeri mengekalkan kesinambungan program meskipun peruntukan berkurang berikutan perubahan jadual pembayaran royalti.

“Bermula pada fasa kelima, terdapat sedikit perubahan yang kami lakukan berikutan penerimaan wang royalti yang tidak menentu. Dahulu, royalti diterima secara konsisten dua kali setahun, iaitu pada bulan Mac/April dan September.

 “Namun, sejak berada di bawah pentadbiran PM ke-10, pembayaran royalti tidak lagi seperti biasa dan menjadi tidak menentu. Secara mudahnya, jadual serta saluran pembayaran berubah dengan syarat yang lebih ketat. Keadaan ini menyebabkan kita terpaksa mengubah pelaksanaan program kad sejahtera antaranya dari segi jumlah penerima, jika sebelum ini jumlahnya agak besar, sekitar 25,000 orang.

 “Tahun ini, alhamdulillah, kita turut melibatkan MAIDAM sebagai penyumbang dalam pelaksanaan Program Kad Sejahtera. Dengan penglibatan MAIDAM, sudah tentu penerimanya terdiri daripada golongan asnaf yang tersenarai di bawah MAIDAM. Walaupun begitu, program ini tetap dapat dilaksanakan, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan program-program kebajikan rakyat dapat diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama itu menjadi komponen penting dalam mengekalkan program setelah nilai manfaat Kad Sejahtera terpaksa dikurangkan daripada RM500 kepada RM400, selain pengurangan jumlah penerima berbanding sekitar 25,000 orang sebelum ini.

Tambah Wan Sukairi, sejak dilaksanakan pada 2019, Kad Sejahtera kini memasuki fasa kelima, melibatkan 75,620 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM15,852,622.41.

 Beliau menegaskan, walaupun berdepan tekanan kewangan akibat pembayaran royalti yang tidak konsisten di bawah pentadbiran Persekutuan, kerajaan negeri tetap komited menjaga kebajikan rakyat.

 Selain itu, Wan Sukairi turut memaklumkan bahawa rakyat, khususnya pesakit wad kelas tiga, terus memberikan maklum balas positif mengenai program itu yang telah banyak meringankan beban rawatan keluarga berpendapatan rendah.

 “Wad kelas ketiga ini, jika saudara dan saudari meneliti siaran-siaran di TikTok, ramai yang memuji selepas berpengalaman mendapatkan rawatan di wad tersebut sama ada ketika bersalin atau menghadapi masalah kesihatan lain. 

 “Mereka melahirkan rasa gembira, syukur dan teruja dengan manfaat yang diterima melalui Program Kad Sejahtera yang dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan