KUALA TERENGGANU, 11 November — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menzahirkan kegusaran terhadap perkembangan aktiviti hiburan di negeri Terengganu, sambil menyeru agar penguatkuasaan syariah dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan hiburan kekal dalam batas yang dibenarkan Islam.
Menurut beliau, walaupun hiburan tidak diharamkan secara mutlak, ia perlu berada dalam lingkungan adab, batas dan syariat.
“Hiburan yang sepatutnya menjadi ruang rehat dan ketenangan, jangan sampai menjadi punca kelalaian, kerosakan akhlak atau pintu kepada maksiat yang lebih besar,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa pengoperasian pusat hiburan seperti pawagam, pusat karaoke, konsert, persembahan dan aktiviti pelancongan di pulau-pulau perlu dikawal selia dengan lebih ketat oleh pihak berwajib.
Kata beliau, kegusaran itu sedikit terubat apabila YAB Menteri Besar mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu, yang berperanan meneliti, memantau dan memastikan pelaksanaan aktiviti hiburan mematuhi ketetapan syarak.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini,” ujarnya.
Zuraida menegaskan bahawa kerajaan negeri yang berteraskan Islam mesti kekal teguh pada prinsip maqasid syariah dalam setiap dasar dan kelulusan, iaitu menjaga agama, akal, maruah dan kesejahteraan masyarakat.
“Kita sangat serius agar sebarang bentuk hiburan di negeri ini benar-benar diteliti dan dipantau secara berterusan,” katanya lagi.
Beliau menutup perbahasan dengan harapan agar setiap keputusan kerajaan negeri akan membawa keberkatan, menjauhkan bala dan memastikan Terengganu terus menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera bukan hanya pada zahirnya, tetapi juga pada akhlak dan rohnya.