• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Perlu Lebih Banyak CBT Promosi Keindahan Terengganu

KEMAMAN, 19 September- Kerajaan negeri mengakui masih kurang pengusaha pelancongan berasaskan komuti (CBT) yang bergiat aktif dalam menaikkan tempat-tempat pelancongan yang ada di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, dalam usaha kerajaan CBT diangkat sebagai salah satu langkah menjana ekonomi setempat sekaligus membangunkan tempat-tempat menarik dalam negeri.

"Apabila kerajaan negeri mewartakan sesuatu tempat sebagai CBT ia akan ada bajet tertentu daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan. Itu satu sudut  yang boleh jana pendapatan orang-orang kampung. 

"Saya tidak nampak lagi di Kemaman ada satu CBT yang berjaya, tetapi di Marang dan Setiu sudah ada yang berjaya di mana mereka boleh dapat pendapatan lebih RM10,000 sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sebahagian soalan penduduk Kemaman dalam Dialog Exco Kerajaan Negeri peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), malam tadi.

Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu menampilkan dua exco iaitu Razali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat yang berkomunikasi secara langsung bersama penduduk tentang pelbagai isu setempat yang diutarakan.

Tambah Razali, isu tempat-tempat pelancongan di Kemanan turut mendapat perhatian penduduk yang mahukan lebih banyak tempat unik diangkat sebagai tarikan pengunjung.

"Baru-baru ini saya berkesempatan ke Yak Yah ada kelip-kelip, yang masih lagi dikawal dan di jaga dengan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Insya-Allah kita akan angkat komuniti Yak Yah sebagai salah satu tempat CBT.

"Jadi, kita bermula dengan Yak Yah, kita tengok bagaimana. Sebenarnya, ia perlu tenaga orang yang ada 'roh' untuk mengusahakan tempat-tempat di Kemaman.

"Untuk jayakannya, kebersihan kena jaga sama ada kedai makan atau sebagainya, tatacara pengendalian piawai (SOP) dan penetapan keislaman kita kekal, tetapi kita ambil peluang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat terutama pihak JPKK untuk terus menzahirkan tempat pelancongan dengan menumpukan alam semula jadi untuk diangkat sebagai keunikan dan keindahan Terengganu.

 

 

 

 


Tag: