• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Permint Granite Jalin Kerjasama Dengan CKY Sand Bangun Industri Silika

KUALA TERENGGANU, 10 September- Permint Granite Sdn. Bhd hari ini menandatangani perjanjian usahasama dengan Syarikat CKY Sand Sdn. Bhd bagi penubuhan syarikat usahasama Permint Granite CKY Sdn. Bhd.


Pengerusi Permint Granite Sdn. Bhd, Che Ghani Che Ambak berkata, penubuhan syarikat usahasama itu adalah selaras dengan kehendak kerajaan negeri untuk membolehkan pasir silika yang telah diproses sebagai mineral industri sebelum dieksport.


“Setakat ini kilang pemprosesan silika di kawasan Bukit Senyamok, Dungun ini telah 75 peratus siap dan dijangka akan beroperasi penuh selewatnya awal tahun hadapan.


“Pembinaan kilang pemprosesan pasir silika ini adalah penting sebagai langkah awal bagi syarikat menghasilkan produk-produk hiliran silika dan untuk permulaan pasir silika yang dihasilkan adalah bagi pembuatan 'solar glass' dan 'architecture glass,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penubuhan Syarikat Permint Granite CKY Sdn. Bhd di Wisma Darul Iman, hari ini.


Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Permint Granite Sdn Bhd diwakili Che Ghani dan Syarikat CKY Sand Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Dato’ Seri Chong Kin Yong.


Menurut Che Ghani, Permint Granite telah diberi kepercayaan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk mengeluarkan pasir silika di kawasan seluas 168 ekar.


“Bermula tahun 2018 sehingga Ogos lalu, kami telah berjaya mengeluarkan sebanyak 707,872.94 metrik tan dengan pendapatan bersih hasil jualan berjumlah RM22.65 juta,” ujarnya.


Katanya, setakat ini kos pembinaan kilang berkenaan adalah sebanyak RM10 juta dan dijangka mencecah RM50 juta untuk siap sepenuhnya.


“Dengan adanya kilang ini juga secara tidak langsung dapat menawarkan 100 peluang kerja kepada penduduk setempat,” ujarnya.