• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Permohonan Pinjaman Pelajar Akan Dibuka



Oleh: Amiirullah Mansor

KUALA TERENGGANU, 3 September – Permohonan Pinjaman Pelajar bakal diwujudkan bagi pelajar yang tidak menerima apa-apa pinjaman mahupun biasiswa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pinjaman ini adalah untuk mereka yang tidak mendapat biasiswa tetapi mereka mendapat tempat (menuntut) di Universiti dalam mahupun luar negara.

“Mereka juga dikalangan yang tidak mendapat bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya, berhak memohon pinjaman ini dan khusus untuk pinjaman bayaran yuran sahaja manakala kos sara hidup seperti makan minum perlu ditanggung sendiri,” katanya.

Jelasnya, setelah mereka (pelajar) selesai menghabiskan pengajian mereka perlu membayar balik pinjaman itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Persediaan Luar Negara dan Penyerahan Wang Saku Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu 2019 bertempat di Terengganu Digital Hub (TD1303) Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kasim dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.


Menurutnya lagi, terdapat masyarakat yang merungut ekoran pelajar yang mengambil pengajian Islam tidak ditawarkan pinjaman buat mereka sebab Maidam Terengganu telah memberi bantuan pendidikan kepada mereka.

Manakala jurusan yang tidak berkaitan pengajian Islam boleh memohon dengan Yayasan Terengganu (YT).

“Maidam Terengganu telah memberi zakat bagi pelajar yang mengambil jurusan berkaitan Islam sama ada belajar di Mesir ataupun Jordan sebagainya dan YT bagi jurusan yang bukan pengajian Islam,” ujarnya.

Seramai 52 orang pelajar yang terdiri 13 pelajar ke Jordan, 3 pelajar ke Mesir dan 36 pelajar dalam negara yang menerima wang saku biasiswa Skim Pelajar Cemerlang YT 2019.

Tag: