• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Permohonan Program Saintis Islam Terengganu Kini Dibuka



KUALA TERENGGANU, 17 Disember- Permohonan mengikuti Program Saintis Islam Terengganu bagi tahun 2019 kini dibuka sehingga 24 Disember ini kepada anak-anak Terengganu yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dengan tajaan kerajaan negeri.

Program anjuran kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang memasuki edisi kelima itu mempelawa calon-calon yang berminat untuk mengikuti program tersebut.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan penajaan biasiswa sepenuhnya kepada pelajar yang terpilih dan berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, program tersebut bertujuan melahirkan Saintis Islam yang hafiz 30 juzuk al-Quran, mendalami ilmu-ilmu Islam dan pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus memartabatkan kegemilangan Islam di negeri ini.

“Permohonan ini terbuka kepada semua anak negeri Terengganu yang berminat serta mempunyai sahsiah yang baik, kemahiran insaniah (soft skill), fasih berkomunikasi bahasa Inggeris dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Jumlah biasiswa kebiasaannya bergantung kepada kos pengajian dan juga kursus yang diikuti pelajar dan apabila tamat pengajian mereka perlulah berkhidmat di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri menggerakkan program itu bagi melahirkan golo­ngan saintis bergelar hafiz dengan memiliki ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang strategik termasuk aeroangkasa, kejurute­raan, perubatan dan sebagainya.

Ishamudin  menyifatkan sejak program tersebut dijalankan pada 2015, sambutan yang diterima daripada pelajar cemerlang bagi mengikuti program ini sangat baik.

Menurut beliau, permohonan boleh dibuat melalui muat turun borang di laman sesawang www.myimtiaz.com.my atau www.yt.gov.my atau boleh didapati di Pejabat Yayasan Terengganu dan di hantar ke Pejabat Yayasan Terengganu.

Tag: