KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Permohonan bagi Skim Pembiayaan Motosikal Tanpa Riba dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dibuka bermula hari ini, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta bagi memperkasa ekonomi belia di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, skim-skim tersebut boleh dimohon di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan mematuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut beliau, skim pembiayaan motosikal tanpa riba menawarkan pinjaman sehingga RM5,000 seorang kepada lima penerima bagi setiap DUN, melibatkan seramai 160 belia di seluruh negeri.
“Skim ini amat penting untuk membantu belia, khususnya mereka yang terlibat dalam pekerjaan gig, penghantaran, usahawan mikro serta aktiviti keusahawanan supaya lebih mudah bergerak, meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.
“Ia juga mampu meringankan beban kos sara hidup dengan menyediakan pilihan kenderaan yang murah, praktikal dan bebas riba,” katanya di sidang media selepas majlis pelancaran skim tersebut di sini, hari ini.

Selain itu, DUTE pula memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta, dengan agihan RM50,000 bagi setiap DUN, bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan atau menaik taraf operasi.
“Dana ini telah digunakan oleh belia untuk membeli peralatan seperti mesin jahit industri, selain meningkatkan mutu perniagaan makanan melalui sistem pembungkusan yang lebih baik – satu langkah penting untuk menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran baharu,” jelasnya.
Ariffin turut menegaskan bahawa kedua-dua inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri untuk menyokong pembangunan keusahawanan belia.
“Bantuan ini adalah hasil titik peluh rakyat yang disalurkan melalui kerajaan negeri.
“Gunakanlah ia dengan penuh tanggungjawab demi kebaikan bersama,” tegasnya.