• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pertambahan Kenderaan Secara Mendadak Punca Petrol Habis

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kekurangan petrol di negeri ini melibatkan beberapa stesen minyak sehingga dilaporkan berpuluh kenderaan tersadai di salah sebuah stesen minyak di Setiu adalah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, masalah kekurangan bekalan bahan bakar itu melibatkan sebahagian stesen yang terletak di laluan mempunyai trafik tinggi dan berlaku kesesakan luar biasa.

"Berdasarkan maklum balas pengusaha stesen minyak terlibat, ia hanya melibatkan penggunaan RON 95, kerana berlaku permintaan yang tinggi ia menyebabkan bekalan petrol meraka pada kapasiti penuh telah habis dengan pantas tanpa sempat lori tangki tiba untuk melakukan pengisian semula.

"Kebanyakkan yang terjejas berada di laluan utama dari Besut ke Kuala Terengganu kerana menjadi tumpuan utama kepada pengguna jalan raya," katanya dalam suatu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata, walau bagaimanapun pihaknya telah memberi jaminan keadaan itu akan pulih sepenuhnya secara berperingkat.