• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pertanian Pacu Pembangunan Rakyat Setiu

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan pembangunan di daerah Setiu melalui sektor pertanian selepas pelbagai faktor tempatan dan projek besar yang sedang dijalankan diambil kira.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, sasaran tersebut menjadi keutamaan kerana keistimewaan Setiu adalah 70 peratus rakyatnya terlibat dalam sektor perikanan, pertanian, penternakan.

“Berdasarkan faktor sedemikian, menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023, pada tahun ini 73 program dan 13 projek dijalankan dan sebahagian besar bertumpu di sini.

“Antaranya seperti pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu melihat kepada beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan.

“Kita melihat keperluan rakyat setempat, oleh itu antara dasar yang kita letakkan buat syarikat dan pelabur luar adalah tiga persoalan iaitu apakah tujuan datang di sini?, bagaimana kerajaan negeri boleh bantu dan apa rakyat boleh tukar?,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Setiu, di Facebook TVDI, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Azman turut menceritakan pelaburan asing dari Amerika Syarikat melalui McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada penggiat tani di sekitar daerah itu.

“Dengan tanah seluas 500 hektar, 100 hektar daripada itu akan digunakan untuk rakyat kita seperti petukaran kemahiran dan teknologi dengan bakal pengeluar komersil yang terbesar lada hitam di Asia Tenggara itu," jelasnya.

Tambahnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, beliau menyeru agar semua pemain taruh dalam industri tersebut bergerak sebagai satu pasukan.

“Rantaian pembuat dasar, pegawai pelaksana dan rakyat yang mendapat manfaat tidak boleh putus, kita perlu saling melengkapi dan sasaran agar rakyat boleh kebaikan dari inisiatif ini,” katanya lagi.