10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
KEMAMAN, 18 November- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Perikatan Nasional (PAS-PN).
Manakala bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mewakili parti Barisan Nasional (BN).
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini pada jam 10.15 pagi ini.
Ahmad Farhan memaklumkan Ahmad Samsuri, 53, yang diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai menyerahkan borang pencalonan jam 9. 04 pagi.
Diikuti Raja Mohamed Afandi, 66, empat minit kemudian dengan diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman , Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai penyokong.
Sebaik proses pencalonan selesai pagi ini, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.