KUALA TERENGGANU, 15 September - Pertemuan rasmi dalam kalangan kepemimpinan Muafakat Nasional (MN) sedang diusahakan bagi menyuburkan kembali hubungan antara dua parti besar Melayu iaitu PAS dan UMNO.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan itu merupakan langkah untuk berbincang dan mencari jalan kembali kepada titik permulaan asal penubuhan gagasan itu sekali gus mengukuhkan kembali hubungan bagi berdepan cabaran pada masa akan datang.
"Hubungan di peringkat peribadi dengan kepimpinan parti yang berbeza ini sedang berjalan, tinggal lagi pertemuan secara rasmi. Itu sedang kita usahakan.
"Kita tengoklah macam mana. Kita harap masing-masing boleh merendahkan ego masing-masing untuk duduk dan bekerja ke arah mencari titik pertemuan perkara yang dipersetujui sebelum ini," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, semalam.
Menurut beliau, PAS sentiasa berusaha akan tanpa henti untuk mencapai perpaduan yang menyeluruh dalam masyarakat setelah sekian lama melihat masyarakat Melayu mempunyai pandangan parti yang berbeza-beza.
"Kita tidak nafikan itu adalah hak dalam perlembagaan tetapi berseteru sehingga menimbulkan ketidaksefahaman dalam kalangan masyarakat kita di peringkat bawah adalah merugikan orang Melayu Islam sendiri.
"Sebab itulah, sementara ruang ada dan muafakat itu kita telah bentuk tiga tahun lalu dan ditambah dengan muafakat di peringkat Perikatan Nasional (PN), sudah tentu kita tidak ingin mensia-siakan peluang yang ada untuk kita menyatupadukan keseluruhan orang Islam, orang Melayu yang ada dalam negara kita," ujarnya.
Ahmad Samsuri menegaskan, penyatuan itu adalah jalan terbaik bagi mendepani cabaran dunia yang semakin hebat pada masa akan datang.
Justeru katanya, usaha mempertahankan MN akan diteruskan dan langkah mencari jalan untuk duduk dan berbincang dalam kalangan dua parti itu wajar dilakukan pada masa ini.
"Jika duduk bincang perkara yang berbeza, sampai bila pun kita tak boleh nak selesai masalah kerana masing-masing dengan hujah dan perbahasan masing-masing.
"Tetapi, kalau kita bincang titik pertemuan kita dahulu, titik kerjasama yang pernah berlaku dahulu, saya yakin ia boleh dilakukan kerana setiap daripada kita sama ada parti besar atau kecil hendaklah merendahkan ego masing-masing dan melihat objektif yg lebih besar demi keharmonian dalam masyarakat kita. Itu adalah lebih baik," ujarnya.
Hubungan antara MN dilihat semakin hambar berikutan beberapa isu besar yang melibatkan perbezaan pandangan antara pemimpin utama kedua parti itu.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan mewakili kedua-dua parti itu, mereka dilihat masih tetap dengan pendirian bahawa MN masih bernafas dan jalinan yang dimeterai sebelum ini boleh diselamatkan," jelasnya.