• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peruntukan Segera RM100,000 Selesai Keresahan Mangsa Ribut

KEMAMAN, 24 Julai - Kerajaan negeri telah memperuntukkan dana segera sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa kejadian ribut di Chukai kelmarin.

Tragedi itu mengakibatkan 90 kediaman di 17 buah kampung mengalami kerosakan teruk selain 25 kanopi milik peniaga tepi jalan diterbangkan angin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata ia bagi membaiki kerosakan yang dialami penduduk berkenaan.

"97.8 peratus kerja membaik pulih kediaman penduduk telah disiapkan pada hari ini, disamping itu juga 25 unit kanopi telah disumbangkan kepada para peniaga kecil di tepi jalan Kampung Paya Berenjut, Geliga Besar dan sekitarnya bagi menggantikan yang telah rosak dalam kejadian kelmarin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam

Katanya, kerja-kerja gotong royong juga  telah diadakan segera bagi menjamin keselesaan penduduk. 

"Aktiviti yang telah dilakukan ialah memotong pokok-pokok besar yang tumbang di atas kediaman penduduk dan kereta serta kerja  membersihkan kawasan yang terlibat telah turut dijalankan.

"Diharapkan dengan beberapa tindakan segera yang dilakukan ini dapat meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah dan dipermudahkan oleh Allah SWT," ujarnya.

Untuk rekod 17 buah kampung yang terlibat dalam kejadian angin ribut di sini ialah, Kampung (Kg) Paya Berenjut, Kg Kuala Kemaman, Kg Besut, Kg Geliga Baharu, Kg Bakau Tinggi, Kg Taman Fikri, Kg Fikri, Kg Mak Lagam, Kg Gong Pauh, Kg Geliga Permai, Kg Geliga/ Geliga Pantai, Kg Pengkalan Pandan, Kg Seri Berenjut, Kg Dusun Nyior, Kg Rumah Murah Geliga dan Kg Tuan.


Tag: