Berita :
Pesanan Ayah Jadi Kekuatan, Rahsia Kejayaan Muaz
Pesanan Ayah Jadi Kekuatan, Rahsia Kejayaan Muaz
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
31

KUALA TERENGGANU, 28 April “Ayah meninggal sebelum saya ambil peperiksaan… namun pesanan ayah supaya sentiasa menjaga al-Quran menjadi kekuatan untuk saya terus bertahan dan fokus,” ujar Muhamad Muaz Zhofri Mohamad Yong, 18,

Luahan penuh emosi itu menggambarkan kecekalan seorang pelajar, yang tetap bangkit menghadapi ujian kehilangan insan tersayang hingga berjaya meraih keputusan cemerlang 10A dan 1B+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pemergian bapanya, Mohamad Yong Awang, 64, pada 1 Mei tahun lalu selepas sekian lama terlantar sakit sejak 2020 memberi kesan besar terhadap emosinya, apatah lagi ia berlaku hanya beberapa bulan sebelum peperiksaan penting tersebut.

“Memang terkesan, tetapi pesanan ayah supaya sentiasa menjaga al-Quran menjadi kekuatan untuk saya terus fokus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Pelajar Straight A’s SPM 2025 Negeri Terengganu anjuran Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), di sini. 

Pelajar dari Losong Haji Mat Shafie itu merupakan antara penerima Bantuan Program Tajaan Pelajar Pintar YPM dan kini menuntut di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Menurutnya, cabaran pembelajaran berasaskan silibus lanjutan yang dikendalikan pensyarah universiti menuntut usaha lebih, termasuk membuat rujukan tambahan dan memanfaatkan platform media sosial untuk ulang kaji. 

Selain berdepan ujian kehilangan insan tersayang, Muaz turut berdepan kekangan kewangan keluarga B40 yang mendorongnya untuk lebih berjimat dan menghargai setiap peluang pendidikan.

Beliau berazam melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di dalam negara sehingga ke peringkat sarjana demi mencapai cita-cita menjadi jurutera. 

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Khalis Najla Mohd Nazuki, 18, dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Berang turut mencatat keputusan 9A dalam SPM 2025. 

Anak kepada Mohd Nazuki Mat Jusoh, 47, dan Wan Suraya Wan Sudin, 45, dari Kampung Minda, Hulu Dungun itu berkata, keputusan percubaan yang hanya 7A menjadi titik perubahan untuknya menggandakan usaha. 

“Saya lebih fokus belajar, pilih rakan yang positif dan disiplin diri termasuk bangun solat tahajud hampir setiap malam,” katanya. 

Beliau menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mahu menjadi doktor pertama dari kampungnya.

Kisah kedua-dua pelajar ini membuktikan bahawa cabaran hidup, termasuk kehilangan orang tersayang dan kekangan kewangan, bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus bangkit dan berjaya. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan