lightning-solid
Berita :
Pesawah Kecil Jangan Jadi Mangsa Pindaan Akta Padi dan Beras
Pesawah Kecil Jangan Jadi Mangsa Pindaan Akta Padi dan Beras
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
15 jam yang lepas
25

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan disaran membezakan kadar penalti mengikut skala operasi pemain industri dalam Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 bagi memastikan hukuman lebih adil, selain tidak membebankan pesawah serta peniaga kecil.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, berkata beliau menyokong cadangan menaikkan kadar denda sehingga RM1 juta terhadap kartel dan syarikat besar.

Namun pelaksanaannya perlu mengambil kira perbezaan antara pemain industri berskala besar dengan pemain kecil.

"Hukuman lebih berat wajar dikenakan terhadap kartel yang mengeksploitasi rantaian bekalan padi dan beras kerana mampu memperkukuh penguatkuasaan serta memberi kesan pencegahan kepada pihak yang mensabotaj keterjaminan makanan negara," jelasnya dalam Sidang Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Akta 522 turut melibatkan pelbagai kategori pemain industri termasuk pesawah, peruncit kecil, ejen pemasaran dan pengusaha Ii lori yang berisiko dikenakan penalti tinggi walaupun melakukan kesalahan bersifat teknikal.

"Pindaan subseksyen 22(1) meningkatkan had maksimum denda bagi individu daripada RM15,000 kepada RM250,000, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap implikasinya kepada pemain kecil yang melakukan kesalahan bersifat teknikal.

"Kesalahan seperti kegagalan menyimpan rekod, tidak mengemas kini rekod atau mengangkut padi tanpa permit boleh berlaku tanpa niat untuk mengeksploitasi pasaran, namun tetap terdedah kepada hukuman yang tinggi kerana banyak kesalahan di bawah akta ini bersifat strict liability,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Seksyen 22 dipinda dengan mengasingkan kategori individu berdasarkan skala operasi supaya pemain kecil dikenakan kadar denda yang lebih munasabah, manakala pengarah syarikat, pemborong besar dan pengilang dikenakan penalti lebih tinggi.

Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang mensabotaj keterjaminan makanan negara, namun pada masa sama perlu memastikan pindaan undang-undang itu tidak memangsakan pemain industri kecil yang menjadi nadi kepada komuniti setempat.

“Matlamat dasar ini sudah betul. Apa yang tinggal hanyalah memperhalusi peruntukan undang-undangnya agar kegiatan pemangsa ekonomi dapat dicegah tanpa memangsakan pemain kecil,” katanya.



.









  



Tag :

Artikel Berkaitan