• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pesawat Terhempas, Terbakar di Teluk Ketapang Hanya Latihan

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Tragedi sebuah pesawat terhempas dan terbakar di pesisir pantai Teluk Ketapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini hanyalah satu latihan kecemasan.

Pengurus Besar Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Pemadam Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS), Muhammad Hidayat Ismail berkata latihan kecemasan melibatkan pelbagai aset kerajaan itu melibatkan kira-kira 500 kakitangan pelbagai agensi.

Katanya, 68 orang mahasiswa sebuah universiti awam turut menjayakan latihan sebagai mangsa dalam insiden tersebut.

“Tujuan kami mengadakan latihan amal ini adalah untuk menguji keberkesanan pelan kecemasan lapangan terbang LTSM, kecekapan komunikasi dan tindak balas semua agensi kerajaan termasuk Malaysia Airports Holding Berhad (Malaysia Airports).

“Memandangkan latihan tersebut julung-julung kali di adakan di luar pagar lapangan terbang, saya kira itu adalah satu kejayaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Latihan Sekala Penuh (Full Scale Excersice) Amal Udara (EX-PENYU) 2023 di tempat kejadian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar LTSM, Mohd Zabidi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Katanya, matlamat utama diadakan latihan itu untuk menilai kecekapan seperti mana yang terdapat dalam Pelan Kecemasan Lapangan Terbang.

"Latihan ini juga untuk memperkukuh kesediaan dan daya tahan lapangan terbang dalam menguruskan sebarang krisis atau situasi kecemasan.

"Kita memberi tumpuan kepada respons untuk menguji kemahiran dan kecekapan setiap agensi yang terbabit semasa kemalangan pesawat luar lapangan terbang dan untuk menguji peralatan dan komunikasi sedia ada yang digunakan semasa insiden udara," jelasnya.\

 


Tag: