• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Petisyen Umno : 'Serah Pihak Berkuasa Adili Sepenuhnya'

HULU TERENGGANU, 16 Januari – Petisyen difailkan Umno Terengganu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di tiga kawasan di negeri ini akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak perundangan.

Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dakwaan bahawa PAS Terengganu merasuah dan menyogok pengundi dengan wang akan diperhalusi melalui undang-undang. 

“Itu (petisyen) hak undang-undang yang diberikan kepada mana-mana pihak penyertaan pilihan raya yang tidak puas hati dengan hal itu.

“Apa jua alasan termasuklah dakwaan pemberian wang akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini.

Hari ini, Umno Terengganu mengumumkan telah memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa memberi rasuah dan wang sogokan kepada pengundi pada PRU15.

Pengerusi Umno Terengganu, Dato'Seri Ahmad Said berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.


Tag: