• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Petronas Agih Zakat Untuk Pelajar Asnaf


Oleh : Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS, 29 Disember - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) mengagihkan zakat berjumlah RM900,000 kepada pelajar dari golongan asnaf di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah berkata, BAKIP mengagihkan wang zakat kakitangan Petronas bagi tahun 2018 dengan kerjasama Pusat Zakat Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu ke enam wilayah di seluruh negara bagi menyediakan keperluan persekolahan..

“Sumbangan ini diberikan dalam bentuk baucer yang bernilai sebanyak RM150 bagi setiap pelajar untuk pembelian kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan alat tulis,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat BAKIP di Mydin Mall,di sini, baru-baru ini (27 Disember).

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Wan Mohd berharap usaha kecil itu paling tidak dapat meringankan beban para pelajar dari golongan kurang berkemampuan dan yang memerlukan perhatian ramai pihak itu.

Menurut beliau, seramai 1,163 pelajar Terengganu terpilih menerima bantuan berkenaan dengan 100 daripada seluruh pelajar itu adalah dari Dewan Undangan negeri (DUN) Tepuh.


Sementara itu, Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh mengucapkan terima kasih kepada pihak Petronas dan BAKIP kerana memilih pelajar DUN berkenaan untuk turut sama menerima sumbangan zakat tersebut pada tahun ini.

“Saya difahamkan sektor pendidikan antara yang diberi keutamaan oleh pihak Petronas untuk membina aset dan modal insan untuk negeri dan negara kita ini,"katanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Pengurus Besar Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT), Tuan Sayed Abdul Rahman Engku Sulong kerana menyumbang beg sekolah kepada pelajar asnaf di DUN itu sempena program `Back To School.'



Tag: