• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Yayasan PETRONAS terus komited dalam usaha menanam lebih banyak pokok  sebagai sebahagian usaha memulihara alam sekitar di negeri ini.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata sokongan itu dilestarikan melalui sumbangan cek dan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Burok ke Pantai Pandak dengan kerjasama kerajaan negeri  sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. 

Katanya, program penanaman pokok ini adalah sejajar dengan aspirasi PETRONAS ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050. 

“Inisiatif ini juga selaras dengan dengan Kempen 100 juta pokok di bawah program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,”katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 100 sukarelawan kakitangan PETRONAS terlibat di dalam aktiviti penanaman spesis pokok terpilih seperti pokok Ketapang, pokok Rhu Pantai, pokok Kelapa, dan pokok Ambung-ambung. 

Di majlis tersebut juga, Mohamad Ahmad Shazly turut menyampaikan sumbangan cek Yayasan PETRONAS kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Amanah Warisan Kuala Terengganu berjumlah RM 297,500.00.

Tambah beliau, pihaknya juga komited untuk menanam satu juta pokok di seluruh negara menjelang 2027 melalui program Menyemai Masa Hadapan yang dilancarkan pada 2020.