• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PETRONAS Sumbang RM 298,100 Untuk Rumah Perlindungan HIV

HULU TERENGGANU, 2 November - Yayasan PETRONAS (YP) menerusi yayasan AIDS Malaysia (MAF) menyumbangkan sebanyak RM298,100 bagi membantu anggota Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman berkata inisiatif itu bertujuan bagi meringankan beban penghuni komuniti Cakna yang terjejas dengan HIV/AIDS.

Katanya, antara inisiatif tersebut adalah melalui perusahaan sosial cili boh secara komersial bagi menjana ekonomi sara hidup mereka.

“Melalui platform itu serba sedikit dapat mengur angkan kadar kemiskinan serta kerentanan sosial yang berpunca daripada jangkitan HIV atau tekanan stigma dan diskriminasi yang masih lagi membelenggu anggota komuniti ini.

“Dalam pada itu, program ini merupakan kesinambungan kerjasama murni yang telah termeterai selama ini di antara Yayasan PETRONAS dan Yayasan AIDS Malaysia dalam usaha membantu anggota komuniti yang terkesan dan terjejas dengan epidemik HIV,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan oleh Yayasan Petronas kepada Komuniti Cakna Terengganu untuk Program Uplifting Lives: Homes, Projek Penghasilan Cili Boh bertempat di Rumah Perlindungan Baitul Cakna Lelaki, Komuniti Cakna Terengganu, PT6236, Kg Pelandan, Kuala Berang semalam.

Turut hadir, Ketua Operasi, Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anita Suleiman dan Presiden Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Ismail.

Tambah Dr Adeeba, beliau berharap usaha ini memberikan impak terhadap kelestarian dana selain membantu mengembangkan lagi projek Komuniti Cakna Terengganu yang sedia ada kepada tahap yang lebih baik.

Beliau juga menyatakan kesan daripada stigma dan diskriminasi daripada masyarakat awam terhadap golongan PLHIV menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan mahupun menceburi bidang perniagaan.

“Kesan daripada stigma dan diskriminasi ini termasuklah kesukaran bagi golongan PLHIV dalam mencari perkerjaan mahupun memulakan perniagaan secara kecil- kecilan. 

Sehubungan itu, MAF dan Yayasan PETRONAS mengambil pendekatan dengan mewujudkan inisiatif Perusahaan sosial cili boh ini sebagai salah satu usaha bagi membantu golongan rentan ini untuk memperolehi pendapatan,” ujarnya.