• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Petugas Dari DUN Sura Bantu Agih Air Bersih Di Kuala Nerus

Oleh : Naim Fadhilah

KUALA NERUS, 5 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura tidak ketinggalan mengagihkan air bersih di Kuala Nerus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, rombongan itu membantu masyarakat di Kuala Nerus yang menghadapi kesukaran dalam rutin harian mereka dari sudut penggunaan air. 

"Sebanyak enam buah trak pikap lengkap dengan tangki air telah tiba di dewan ini dan sentiasa bersedia menerima arahan daripada Bilik Operasi Agihan Air Dun Tepoh," ujarnya.

"Berdasarkan taklimat yang diberikan, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibantu juru arah daripada petugas Jabatan Amal dan juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk membawa kami ke lokasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas taklimat pergerakan agihan air di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.

Wan Hapandi turut merakamkan rasa syukur apabila masyarakat menerima  dengan baik kehadiran rombongan ini membantu mereka di kawasan yang terjejas. 

"Insya-Allah, dengan cara ini saya dapat lihat respon positif yang diberikan penduduk dan semua kerja agihan menjadi lebih mudah dan secara tidak langsung menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"Mudah-mudahan dengan sedikit pengorbanan masa dan tenaga ini dapatlah meringankan kerja-kerja agihan air di sekitar Kuala Nerus ini," katanya.


Tag: