• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pewartaan Taman Negeri Tunjang Pemuliharaan Habitat Setiu Wetlands

Pengurusan Taman Negeri berusaha adakan siri-siri penerangan dan pendidikan kepada masyarakat.


SETIU, 20 Ogos – Perwartaan Taman Negeri bukan bererti kerajaan negeri ingin menyekat peluang komuniti setempat untuk menjana hasil melalui sumber yang ada.

Timbalan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Normah Nik memaklumkan, perwartaan taman negeri bertujuan memelihara habitat dan arkeologi, flora dan fauna yang menjadi sumber pendapatan bagi komuniti setempat.

“Ketika diperingkat awal kita wartakan, ia kelihatan seolah-olah kita menutup peluang mereka untuk ambil sumber yang ada. Sebenarnya lebih besar daripada itu, kita tidak melarang pengunjung yang ingin berekreasi dan penduduk tempatan yang bergantung hasil kepada hidupan di taman negeri.

“Sebaliknya, pihak taman negeri mendidik mereka mengambil sumber secara lestari tanpa menjejaskan kehidupan yang ada. Secara tidak langsung kita dapat kawal kemasukan dan pencerobohan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu program Jom Kenal Taman Negeri Terengganu di Setiu Wetland, semalam.

Program tersebut bertujuan memperkenalkan Enakmen Taman Negeri kepada sekitar 30 peserta dari jabatan-jabatan serta agensi kerajaan negeri serta kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai taman negeri.
 
Normah Nik
Menurut Normah, cabaran utama bagi pihak taman negeri adalah untuk mendidik masyarakat awam terutama komuniti setempat dari segi enakmen yang telah diwartakan.

“Enakmen Taman Negeri telah wujud sejak tahun 1986 lagi. Bagaimanapun, kerajaan negeri bersetuju meminda enakmen yang lama dan mewartakan Enakmen Taman Negeri 2017 yang lebih progresif  merangkumi keseluruh bidang perlindungan dan pembangunan komuniti yang mula dikuatkuasakan Februari tahun lalu.

“Sebenarnya, kita ketinggalan agak jauh berbanding Sabah yang sudah 55 tahun dan Johor yang melaksanakannya lebih awal. Tetapi, positifnya, apa-apa kegagalan yang berlaku sebelum ini boleh dielakkan dari pihak kita dengan wujudnya pewartaan ini,” katanya.

Terengganu mewartakan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) fasa pertama seluas 432 hektar dan Tasik Kenyir seluas 30,000 hektar sebagai taman negeri.

Manakala, kerajaan negeri turut bercadang mewartakan Pulau Tenggol yang berkeluasan kira-kira 2,000 hektar pada masa akan datang.

Beliau turut menyatakan, kerajaan negeri proaktif dalam memulihara alam sekitar dan dengan pewartaan taman negeri, ia lebih terjamin.

“Sesuatu yang mengejutkan, pewartaan Setiu Wetlands pada bulan Mei 2018 disambut majoriti penduduk setempat, kami juga menerima penyertaan yang positif dalam setiap program yang membolehkan komuniti di sini terlibat secara langsung.

“Perkara ini banyak membantu pihak kami untuk menguruskan Setiu Wetlands,” katanya yang turut menjelaskan bahawa pengurusan taman negeri turut berkerjasama dengan komuniti kawasan yang dikenali sebagai ‘Sahabat Setiu’.




Tag: