• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

PH Menang Tanpa Akhlak & Moral

Dato' Seri Abdul Hadi Awang menjawab soalan yang diajukan oleh pihak media. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pakatan Harapan disifatkan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu di atas padang yang tidak sama rata dengan kehilangan akhlak dan moral.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Malaysia, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, penguasaan media sosial oleh parti gabungan Pakatan Harapan nyata tidak mempedulikan perhitungan dosa dan pahala apabila menyebarkan fitnah kepada pihak yang berbeza pendirian.

Berita bohong yang menyerang parti lain disebarkan meredah sempadan tanpa peduli benar atau salah.

“Bahkan, pasca PRU14 masih menampakkan sikap yang sama apabila manifesto yang dicanang dan dijanjikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran dilihat tidak konsisten,” ujarnya.

Namun katanya, PAS masih menekankan politik damai kepada kerajaan persekutuan.

“Kita tidak menyerang membuta tuli, namun segala tindakan Kerajaan Pakatan Harapan akan berada dalam pemerhatian.

"PAS juga tidak akan berdiam diri sekiranya tindakan kerajaan pusat memberi mudarat kepada rakyat dan menyalahi prinsip Islam," tegasnya.

Beliau mengharapkan perubahan dalam kerajaan baharu dan menyatakan bahawa janji Pakatan Harapan untuk memulangkan royalti kepada Kerajaan Terengganu dan Kelantan merupakan tanda-tanda positif dan perlu dilunaskan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS malaysia di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini (15 September).

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan muktamar pada kali ini menampilkan kelainan yang ketara.

“Kita didatangi oleh banyak parti politik termasuk kepimpinan tertinggi UMNO dan MIC.

“Ini merupakan nilai tambah kepada muktamar yang diadakan saban tahun ini,” tambahnya.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Haji Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang.





Tag: