KUALA NERUS, 20 Julai - Pengurusan Program Korban Aidiladha Masjid At-Taqwa Batu Enam, mengambil inisiatif mendapatkan lembu-lembu yang bersaiz agak kecil bagi memastikan ibadah korban dapat disertai lebih ramai penduduk.
Wakil pengurusan program, Mohd Akmal Othman, 48, berkata, inisiatif itu diputuskan berikutan suasana rata-rata masyarakat yang menghadapi masalah kewangan berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Berbanding tahun lepas, harga sebahagian naik sehingga RM150 tahun ini.
"Jadi, kita ambil lembu-lembu yang kecil sedikit supaya harga jadi lebih murah iaitu sebanyak RM650 sebahagian, berbanding harga semasa yang kini antara RM700 ke RM750," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program korban yang diadakan di Batu Enam, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini pihak masjid sering menerima penyertaan korban bagi lapan ke sepuluh ekor lembu untuk satu musim.
Bagaimanapun, jumlah korban dikurangkan kepada tujuh ekor bagi diselaraskan dengan gerak kerja di bawah norma baharu.
Jelasnya, pihak penganjur juga melakukan persiapan menggunakan teknologi terkini seperti perbincangan secara dalam talian dan penyediaan peralatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melalui pembahagian tugas.
"Kita hadapilah, tetapi hari ini, Alhamdulillah semua berjalan lancar.
"Saya rasa, tidaklah susah SOP baru ini, kita pun lebih teratur dan tidak 'bolok'," katanya.
Ibadah korban juga dilakukan mengikut SOP ditetapkan iaitu penglibatan kurang 10 petugas dan lima ekor lembu bagi satu-satu masa.
Namun, diakui kemeriahan kurang dirasai berbanding dahulu.
"Dahulu, orang ramai melihat acara korban kerana disunatkan peserta melihat sendiri penyembelihan korbannya.
"Mustahillah kalau orang kata sedikit orang ini meriah, namun sekurang-kurangnya kali ini kita dapat juga melaksanakan ibadah korban.
"Sekalipun kita masih berdepan pandemik tahun ini, syukur kerana kita masih boleh meraikan Aidiladha dengan sempurna," katanya.