• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Diwartakan Januari 2024

KUALA TERENGGANU, 8 November - Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 seperti perbomohan dan sihir akan diwartakan pada Januari 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada masa ini pindaan yang diluluskan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dalam proses untuk diwartakan.

“Kita baru sahaja bermesyuarat di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pemerkasaan Syariah di mana untuk Negeri Terengganu alhamdulillah, kita mempunyai enakmen jenayah syariah yang merupakan enakmen ibu yang telah diluluskan dan digunapakai sejak tahun 2001.

“Pada hari ini, kita telah membuat beberapa pindaan untuk diperkasakan enakmen tersebut, di mana pindaan-pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada tahun 2022. Jadi ia masih lagi dalam proses untuk diwartakan dan akan digunapakai setelah melalui proses seterusnya dengan entiti yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, JHEAT, MAIDAM, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Pejabat Penjara Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut katanya, pindaan tersebut yang pertamanya ialah melibatkan 17 peningkatan kadar hukuman.

“Di mana dalam enakmen yang lalu (enakmen 2001), hukuman-hukuman itu telah ada tetapi tidak boleh menjangkau hukuman ‘356’ iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

“Kesemua kesalahan-kesalahan takzir yang melibatkan unsur-unsur mempersendakan agama Islam, pemujaan, sihir dan seumpamanya kita tingkatkan semaksima mungkin. Maknanya, maksimum di situ ialah hukuman ‘356’ yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.

Tambah beliau, antara pindaannya juga dimasukkan seksyen-seksyen baharu dalam pindaan ini iaitu berkait dengan perbomohan dan sihir dikira sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman takzir.

“Ketiganya, ialah pindaan terhadap peruntukan sedia ada,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memartabatkan syariah Islam di Negeri Terengganu ini mengikut kadar kemampuan yang dimiliki.