PITAS2030 Pelan Holistik Bangunkan Negeri

KUALA TERENGGANU, 17 April – Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) kini membuktikan bahawa pembangunan negeri sedang bergerak dengan nyata. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PITAS2030 merupakan pelan holistik yang menggabungkan pengukuhan ekonomi, pembangunan fizikal dan kesejahteraan spiritual rakyat.

"Sebagai ulangkaji kita bersama, inilah yang kita jenamakan di bawah satu pelan induk iaitu PITAS2030.

"Bagi penggal ini, kerajaan telah menyenaraikan 93 Program Pembangunan Berimpak Tinggi (HIPP) mengikut portfolio setiap Exco sebagai pemacu pembangunan strategik negeri," katanya dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Jelas Menteri Besar, mengikut laporan semasa 2024, sebanyak 32 program atau 34.4 peratus telah disempurnakan, 38 program (40.9 peratus) sedang dilaksanakan, dan 19 lagi (20.43 peratus) dalam peringkat perancangan, manakala hanya empat program (4.3 peratus) masih di peringkat kertas konsep.

“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan seluruh jentera kerajaan dan rakan strategik untuk memastikan manfaat pembangunan dirasai rakyat di setiap pelosok negeri,” tegasnya.

Namun, beliau mengingatkan agar tidak leka, sebaliknya menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan program yang telah mencapai tahap kemajuan 50 hingga 80 peratus.

“Kita perlu meningkatkan kecekapan, kurangkan birokrasi dan manfaatkan teknologi serta pembiayaan inovatif agar sasaran PITAS2030 tercapai lebih awal daripada jadual,” katanya.