• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Piza Dapur Kayu Ulicafe Laris

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Lazimnya sajian dapur kayu diguna pakai mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, tetapi pemilik Ulicafe, Che Ku Nasir Ku Maidin, 40, yang mengusahakan piza mencipta kelainan apabila turut menggunakan kaedah itu di tengah-tengah pusat bandar.

Keberanian Che Ku Nasir yang mempromosikan sajian Itali sejak Februari lalu nyata membuahkan hasil apabila mampu menjual 100 piza sehari walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dia tidak menyangka produk piza dapur kayu mendapat sambutan menggalakkan walaupun tidak sampai setahun beroperasi.

"Mungkin keunikan aroma yang dimasak menggunakan ketuhar tanah liat dan kayu kebun seperti rambai serta rambutan menjadikan ia sedikit berbeza,” katanya yang mengusahakan restoren itu bersama kembarnya, Che Ku Basir.

Che Ku Nasir berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP kali ini beliau hanya menyediakan piza berdasarkan tempahan awal iaitu sehari sebelum dan 20 peratus lagi tempahan bagi pelanggan yang datang secara ‘walk in’.

“Setakat ini kita hanya sediakan kaedah bawa pulang (take away) memandangkan masih berada dalam tempoh PKP. Pelanggan juga diminta menempah lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan bayaran semasa penghantaran (COD) khusus bagi pelanggan di kawasan bandar Kuala Terengganu sahaja buat masa ini,” katanya ketika ditemui di premisnya, di Jalan Dato’ Isaacs, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, buat masa ini terdapat empat hidangan piza disediakan iaitu pepperoni ayam, pepperoni daging, daging salai dan uli chicken.

"Ditawarkan harga yang berpatutan iaitu bersaiz kecil atau M berharga RM21 dan sederhana (saiz L) pula RM25 sahaja.

"Dibuka bermula jam 1 petang hingga 9 malam, " katanya.


Tag: