• 18 Apr 2021 | 6 Ramadhan 1442

PKM, JPKK Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Daftar Vaksin

SETIU, 5 April - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) giat mengadakan kempen pendaftaran vaksin COVID-19 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan segala berita yang disebarkan pihak tertentu tentang vaksin kerana pakar dalam bidang terbabit sudah memberi penjelasan.

"Alhamdulillah, pagi ini saya telah melengkapi jadual suntikan vaksin untuk kali ke dua dan setakat ini tiada apa-apa gejala atau kesan yang teruk termasuk tiada sebarang alahan..

"Vaksin ini adalah sebahagian usaha untuk kita melindungi diri dan masyarakat daripada pandemik COVID-19 di samping pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima suntikan di  Klinik Kesihatan Rahmat,l semalam.

Sijil digital melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, rekod pendaftaran vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi daerah Setiu setakat 2 April mencatatkan bilangan seramai 7959 orang dengan kadar 18.5 peratus.

Orang ramai terus disaran untuk mendaftarkan diri dan tanggungan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui laman www.vaksincovid.gov.my/daftar.