• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

PKP 3.0 : KETENGAH Peruntuk Hampir RM1 Juta Bantu Masyarakat Luar Bandar, Para Usahawan

KUALA TERENGGANU, 7 Jun- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM917,443 bagi meringankan beban masyarakat luar bandar terutamanya para usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata, insentif selama tiga bulan bermula bulan Mei hingga Julai 2021 melibatkan seramai 4443 orang penerima manfaat meliputi tiga program.

"Pertama, program KETENGAH ambik Cakna Lockdown dimana bantuan bakul makanan diagihkan kepada seramai 3200 buah keluarga dengan implikasi kewangan sebanyak RM366,000.

"Selain itu, kita turut mengenakan pengecualian penyewaan premis perniagaan KETENGAH dalam tempoh tiga bulan buat 1042 orang usahawan dengan perbelanjaan sebanyak RM397,263.

"Ketiga, pihak kami juga akan membuat penangguhan bayaran sewa beli rumah kediaman KETENGAH melibatkan 201 buah keluarga dengan peruntukan sebanyak RM172,180," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, insentif penangguhan tersebut turut disertakan dengan penjadualan semula moratorium atau bayaran balik serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan rumah kediaman.

"Ini akan diberikan secara automatik dan serta merta tanpa perlu mengemukakan permohohan," katanya.

Tambah Dato' Razali, tiga bantuan tersebut merupakan kesinambungan daripada insentif terdahulu yang telah dilaksanakan bermula PKP 1.0 yang lalu di mana melibatkan kos RM1.1 juta bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah bagi menjayakan program vaksinasi nasional melalui Stay Safe-KETENGAH Region (S-Reg) bagi membantu meningkatkan kecekapan peratusan pendaftaran vaksinasi nasional dalam Wilayah KETENGAH.

"Data kaji selidik penduduk diwujudkan bagi mendapat data tepat bagi dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita turut bersedia berkerjasama menyediakan persiapan tempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu serta kemudahan pengangkutan kepada penduduk," jelasnya.